Program
Pemantauan Indeks Kualiti Air Sungai telah dibangunkan dengan matlamat untuk
memuliakan kualiti air sungai dan mengesan perubahan kualiti air disebabkan
oleh pembangunan. Data kualiti air dikaji bagi menentukan keberadaan kualiti
air sungai dan dikelaskan mengikut Kelas I, II, III, IV atau V mengikut
piawaian Indeks Kualiti Air (WQI).
Glosari
Dalam
konteks sungai di negara kita, bagi membolehkan tahap pencemaran sungai kita
dikelaskan, beberapa petunjuk kualiti air diperlukan untuk menilai sama ada
sesuatu air sungai yang dijadikan sumber bekalan air itu berkualiti ataupun
tidak. Petunjuk-petunjuk ini merupakan kawalan kepada tahap pencemaran yang
wujud di dalam komposisi air. Penunjuk kualiti air terdiri daripada Parameter
Oksigen Biokimia (BOD), Parameter Oksigen Kimia (COD), Oksigen Terlarut (DO),
Nitrogen Ammonia (NH3-N), dan Pepejal Terampai (SS) dan PH. Dalam konteks
bekalan air minuman, parameter biologi (analisis kandungan bakteria) dan kimia
(logam berat berbahaya) selalu ditekankan agar bekalan air yang dihasilkan
bebas dari sebarang bentuk pencemaran yang berbahaya.
Dengan
menggunakan petunjuk-petunjuk tersebut, Malaysia telah memperkenalkan satu
indeks bagi mengkelaskan tahap pencemaran. Indeks Kualiti Air (IKA) telah
dihasilkan melalui bancian pendapat ahli ikhtisas. Seperti indeks-indeks lain,
IKA ialah gabungan nilai parameter kualiti air mengikut model tertentu. Horton, 1965 dalam Kualiti dan Pencemaran Air
di Malaysia oleh Anhar Suki telah mencadangkan satu model di
mana setiap parameter kualiti air yang dianggap penting diberi pemberat
mengikut kepentingannya. Nilai ini kemudian digabungkan secara aritmetik bagi
mendapatkan satu nilai dan pada masa kini juga terdapat pelbagai model yang
boleh digunakan. Di Malaysia, cara yang biasa digunakan adalah melalui
pendekatan matematik atau berdasarkan bancian pendapat ahli ikhtisas.
Pada
umumnya, setiap sungai di negara ini dikategorikan kepada lima kelas iaitu;
- Kelas 1 - airnya boleh terus diminum tanpa rawatan
- Kelas 2 - airnya memerlukan rawatan biasa
- Kelas 3 - air nampak bersih, tidak berbau, tetapi kualitinya tercemar dan orang ramai tidak boleh berenang tetapi boleh berkelah di tebing
- Kelas 4 - sedikit tercemar *
- Kelas 5 - sangat tercemar *
*Bagi Kelas 4 dan 5, keadaan air antara lain berbau
busuk dan berwarna hitam.
Permintaan Oksigen Secara Biokimia (BOD)
Permintaan
Oksigen Secara Biokimia (BOD) ialah satu pengukur jumlah oksigen yang
diperlukan oleh bakteria dan mikro organisma aerobik untuk mengoksidakan bahan
organik kepada bentuk bahan bukan organik yang stabil. Di Malaysia, paras
cadangan bagi kriteria BOD bagi air mentah untuk bekalan air domestik ialah 1
mg/l dan paras cadangan interim standard BOD untuk air mentah di sungai iaitu
3mg/l.
Permintaan Oksigen Secara Kimia (COD)
Permintaan
Oksigen Secara Kimia (COD) pula adalah pengukur jumlah oksigen yang diperlukan
oleh agen pengoksida dalam proses pengoksidaan bahan kepada karbon dioksida,
air dan ammonia secara kimia. Biasanya kandungan COD adalah lebih tinggi
berbanding BOD. Sumber bahan organik dan bukan organik dalam air biasanya
berpunca daripada sisa industri seperti kilang pulpa dan kertas serta kilang
penapis/ memproses logam. Pada kebiasaannya kepekatan COD sesuatu air permukaan
yang tidak tercemar iaitu kurang daripada 20 mg/l. Di Malaysia nilai kriteria
cadangan COD untuk bekalan air domestik ialah 10 mg/l manakala cadangan
standard interim untuk air mentah ialah 25 mg/l.
Oksigen Terlarut (DO)
Oksigen
Terlarut (DO) pula adalah asas hidupan akuatik kerana ia penting untuk proses
pernafasan dan penguraian bahan organik. Terdapat 4 faktor yang yang mempengaruhi
proses konsentrasi DO dalam badan air iaitu proses pengudaraan semula
(interaksi atmosfera-air dan pergerakan air), fotosintesis, respirasi,
pengoksidaan bahan organik, suhu dan saliniti. Di Malaysia, cadangan interim
nilai standard DO air mentah untuk bekalan air domestik adalah lebih tinggi
daripada 5 mg/l. Manakala DO yang lebih besar daripada 8 mg/l adalah tidak
dicadangkan untuk bekalan air mentah.
Pepejal Terampai (SS) dan Pepejal Terlarut (TDS)
Sedimen
merupakan petunjuk pencemaran berasaskan pembukaan tanah, perlombongan, larutan
dan pencemaran. Ia biasa terdiri daripada lumpur, sisa halus mineral, zarah
pasir halus, klodak dan liat, partikel bahan organik, plankton, dan organisma
mikroskopik. Dalam kajian kualiti air ianya meliputi 2 parameter iaitu Pepejal
Terampai (SS) dan Pepejal Terlarut (TDS). Kebiasaannya, sungai yang baik
mempunyai SS sebanyak 25 mg/l. Di Malaysia, paras cadangan nilai standard
interim SS ialah 50 mg/l iaitu satu standard yang sesuai untuk berenang dan
berekreasi.
Nitrogen Ammonia (NH3-N)
Nitrogen
Ammonia (NH3-N) juga digunakan sebagai penunjuk utama kepada
kehadiran kumbahan binatang dan manusia, buangan domestik, bandar dan industri
serta baja pertanian. Konsentrasi Nitrogen Ammonia yang tinggi akan
mempertingkatkan denyutan, kadar aktiviti respirasi dan keseimbangan hidupan
akuatik serta mempengaruhi kadar metabolisme. Pada kebiasaannya, air semulajadi
mempunyai kandungan ammonia kurang daripada 0.1 mg/l. Di Malaysia, paras
konsentrasi Nitrogen Ammonia untuk bekalan air domestik mestilah kurang
daripada 0.1 mg/l. Nilai cadangan Nitrogen Ammonia untuk bekalan air mentah
ialah 1 mg/l.
Kepekatan Hidrogen (pH)
PH atau
kepekatan Hidrogen merupakan sukatan bagi keasidan dan kealkalian dan ia
merupakan sukatan yang terpenting dalam menentukan kimia air kerana kebanyakan
proses yang terbabit dalam rawatan air bergantung kepada parameter ini. Nilai
pH biasanya diukur pada skala 0 - 14 yang mana nilai 7 ialah neutral. Nilai
yang kurang daripada 7 adalah bersifat keasidan manakala yang melebihi 7
bersifat alkali. Organisma boleh hidup dengan baik pada paras pH antara 6.0 -
8.5 dan ianya sangat sensitif terhadap perubahan pH kerana perubahan ini akan
mempengaruhi proses pembiakan dan pembesaran ikan, jumlah dan spesies hidupan
air yang lain.
Sumber : http://wqms.info/